Sesiapun tidak dapat menafikan kepentingan terjemahan kepada sesebuah negara, tamadun atau bangsa. Bukti-bukti awal kerja terjemahan yang ditemui adalah bertarikh 3000 SM dengan terjumpanya batu-batu bersurat yang ditulis dalam dua bahasa. Bukti-bukti tersebut adalah kesan peninggalan pemerintahan kerajaan Mesir Tua di daerah Elaphatin. Penterjemahan menjadi penting di dunia Barat apabila orang-orang Rom menyerap unsur-unsur budaya Greek secara besar-besaran termasuklah keseluruhan unsur kegamaan dan kebudayaan mereka.
Penterjemahan berlaku dengan pesat dalam dunia Islam bermula pada abad ke-8M ketika pemerintahan khalifah Abu Jaafar al-Mansur iaitu khalifah Abbasiyyah yang kedua. Beliau banyak melakukan kegiatan terjemahan apabila banhyak buku asing terutamanya dari bahasa Yunani, Rom,Parsi dan Greek diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab. Namun kegemilangan terjemahan di dunia Islam mencapai kemuncaknya pada zaman pemerintahan Khalifah al-Ma'mun apabila beliau berjaya mendirikan Bayt al-Hikmah. Di dalamnya mempunyai 2orang penterjemah yang berperanan dalam penterjemahan daripada bahasa Yunani ke dalam bahasa Arab iaitu Hunayn Ibn Ishak dan Thabit bin Qurrah. Punca yang menyebabkan perkembangan terjemahan pada waktu itu ialah mempunyai galakan daripada pemerintah yang memberikan banyak kemudahan kepada para penterjemah. Antara kemudahan dan galakan yang diberikan ialah ganjaran bagi setiap hasil terjemahan, kemudahan perpustakaan, buku-buku yang bakal diterjemah dan lain-lain. Selain itu, terdapat banyak kamus dwibahasa sama ada kamus Arab-Yunani atau Arab-Latin yang terdapat di Perpustakaan al-Akurial.
Pada abad ke-12, dunia Barat pula bertembung dengan dunia Islam di Sepanyol semasa Ketuanan Bangsa Moor. Apabila Ketuanan Bangsa Moor runtuh, sekolah penterjemahan di Toledo telah menterjemahkan teks klasik Greek dalam bidang Sains dan Falsafah yang terdapat dalam Bahasa Arab.Selain itu, terjemahan juga dibuat terhadap buku-buku yang dikarang oleh para sarjana Islam seperti Ibn Sina, al-Khawarizmi, al-Farabi, Ibn Khaldun dan lain-lain. Usaha-usaha penterjemahan ini menjadi asas kukuh kepada kebangkitan Eropah dari Zaman Gelap.
Ditulis oleh: Nurul Izzah Binti Mohamad (A168063)
No comments:
Post a Comment